Program dan acara MSI akan datang
Pusat Islam dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) telah melaksanakan Program Prihatin Asnaf dengan menyampaikan sumbangan kepada 5 keluarga asnaf di sekitar Rengit, melibatkan kawasan Kg Sungai Dulang Laut, Kg Parit Besar Darat dan Kg Sungai Bagan Darat. Program ini diwakili oleh Ustazah Zurina, Ustaz Abdul Aziz dan Ustaz Asyri yang telah turun padang menziarahi rumah penerima. Sepanjang lawatan, pihak Pusat Islam turut dibantu oleh Cikgu Khadijah binti Tamam bagi memudahkan urusan penyampaian sumbangan kepada keluarga yang terlibat. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang yang telah membantu dalam meringankan beban keluarga asnaf, khususnya sempena keberkatan bulan Ramadan.
Majlis Iftar Puasa Peringkat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan keharmonian, menghimpunkan barisan ahli Lembaga Pengarah, pimpinan Universiti, staf pelajar serta masyarakat sekitar. Majlis dimulakan dengan tazkirah ringkas Ramadan daripada YB Dato' (Dr.) Haji Nooh bin Gadot yang bertajuk "Keistimewaan Bulan Ramadan" sebagai pengisian rohani sebelum laungan azan Maghrib berkumandang dan para tetamu menikmati juadah berbuka puasa secara berjemaah bertempat di Dewan Al-Farabi, Masjid Sultan Ibrahim UTHM. Program diteruskan dengan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah sebagai simbol kesatuan dan kebersamaan warga universiti. Penganjuran majlis ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara pengurusan dan staf, malah memperkukuh budaya kerja berteraskan nilai ihsan, hormat dan kebersamaan dalam kalangan warga UTHM. Lebih 700 jemaah memeriahkan iftar perdana pada kali ini. Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra yang mencerminkan semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam komuniti universiti.
Pusat Islam UTHM meneruskan lagi pelaksanaan Program Infaq Jumaat Masjid dan Surau Negeri Johor inisiatif dari kerajaan Negeri Johor yang bertempat di foyer kiri Masjid Sultan Ibrahim UTHM pada hari Jumaat, 13 Februari 2026. Sejumlah 150 pek makanan serta kuih muih telah disediakan untuk jemaah yang hadir. Turut disediakan beberapa balang air serta tambahan kuih muih yang telah diinfaqkan oleh beberapa individu dari kalangan komuniti setempat yang prihatin. Marilah kita terus berinfaq dengan hati yang ikhlas. Sesungguhnya setiap ringgit yang disumbangkan bukan sekadar bantuan kepada insan lain, tetapi pelaburan untuk akhirat dan rahmat bagi negeri tercinta. Semoga semangat infaq ini terus subur dan membawa keberkatan kepada seluruh negeri dan Bangsa Johor. InsyaAllah.
Program Halaqah Ilmu Ramadhan 1447H Siri 2 telah berjaya dilaksanakan pada 12 Februari 2026 di Dewan Seminar Al Farabi, Pusat Islam UTHM. Program ini merupakan anjuran Pusat Islam UTHM dengan kerjasama Biro Dakwah, Pendidikan dan Pengimarahan Jawatankuasa Masjid Sultan Ibrahim UTHM sebagai kesinambungan usaha menyemarakkan bulan Ramadan dengan majlis ilmu yang bermanfaat. Siri kedua ini meneruskan momentum penyampaian yang santai namun sarat dengan pengisian ilmiah berjaya menarik perhatian para hadirin yang terdiri daripada staf dan warga UTHM serta komuniti setempat. Program ini menjadi platform penting dalam menyuburkan budaya ilmu di kampus, di samping mengimarahkan Masjid Sultan Ibrahim sebagai pusat penyatuan ummah dan pembangunan sahsiah. Suasana halaqah yang harmoni dan interaktif turut membuka ruang perkongsian serta refleksi diri dalam memanfaatkan baki hari-hari Ramadan dengan sebaiknya.